Friday, March 12, 2010

KEPUTUSAN BM STPM MEMBANGGAKAN

Saya sendiri pun tidak menyangka pelajar-pelajar yang selalu kena leteran saya sepanjang tahun begitu membanggakan saya. Bayangkan 25 % daripada mereka berjaya memperoleh pangkat A. Peningkatan peratus lulus begitu ketara daripada 62.5% pada tahun 2008 telah meningkat kepada 87.5%. Terima kasih kepada pembantu utama saya Pn Harlina yang begitu komited dengan usaha beliau membantu pelajar menguasai kemahiran menjawab kertas 2. Walau bagaimanapun saya masih terkilan kerana dua orang pelajar ( yang memang saya jangka ) mendapat C-. Diharapkan tahun ini keputusan akan lebih cemerlang. Bersedialah dengan terjahan-terjahan (soalan) yang akan anda hadapi tahun ini.
Majalah sekolah "The Michaelian" edisi 2009 baru saja dilancarkan semalam. Edisi ini merupakan edisi kedua yang saya terlibat secara langsung sebagai penyelaras. Kesempatan ini saya ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada tenaga kerja daripada kalangan guru dan pelajar ( terlalu ramai untuk disebut satu persatu ) yang telah bertungkus lumus menyiapkannya sebelum keputusan SPM diumumkan semalam. Alhamdulillah majalah ini dapat disiapkan beberapa jam sebelum pelajar Tingkatan 5 2009 mengambil keputusan mereka. Saya sangat terhutang budi kepada beberapa individu yang memberi komitmen yang begitu tinggi bagi memastikan kelancaran penerbitan The Michaelian kali ini. Antaranya Mr. Ravichandran, Mr Peter Khiew, Joanna Ooi, Haji azhar, Mr Timothy Chee, Nicholas Ling, Bro Matthew dan beberapa nama lagi.

Tahniah Dhesegaan

Sebuah karangan oleh seorang pelajar saya yang pernah menyumbangkan karangan beliau dalam blog ini ( Wesnesday, Jun 17, 2009 ) iaitu Dhesegaan a/l Bala Krishnan telah disiarkan dalam Majalah Dewan Siswa keluaran bulan Mac 2010. Karangan tersebut "Kepentingan Menderma" merupakan karangan asli beliau semasa beliau menjawab soalan kertas 2 Bahasa Melayu dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun yang lalu. Tahniah, teruskan usaha penulisan anda. Semoga usaha anda ini menjadi ikutan Michaelian yang lain.